Friday, June 25, 2010

Pelajar MTD Maut

Maut selepas diarah tekan tubi

KUALA LUMPUR 24 Jun – Seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini, mati setelah tidak sedarkan diri selepas dikenakan hukuman tekan tubi dan ditendang oleh rakannya di dalam sebuah bilik di sekolah itu, awal pagi ini.

Pelajar malang tersebut, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, sempat diberikan rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 1.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, seorang anggota tentera yang bertugas di MTD menerima maklumat bahawa pelajar terbabit pengsan di biliknya pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke PPAT dan diberikan rawatan kecemasan selama 50 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum tidak sedarkan diri iaitu pada pukul 10.45 malam tadi telah dikenakan hukuman tekan tubi.

“Semasa sedang melakukan tekan tubi itu, seorang pelajar MTD telah menendang perutnya sekali menyebabkan mangsa yang cuba berdiri dan berjalan menjadi tidak stabil.

“Pelajar itu kemudian terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Chin Wah berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.

Katanya, kematian pelajar terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Seksyen Perhubungan Media, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, kejadian itu telah dilaporkan di Balai Polis Sungai Besi pada pukul 2 pagi ini.

Menurutnya, satu Lembaga Siasatan turut ditubuhkan oleh MTD untuk mengenal pasti punca dan motif kejadian ini.

Sementara itu di Baling, mangsa, Mohammad Naim Mustaqim pernah menghubungi keluarganya tiga hari lalu untuk memohon maaf sebelum dia meninggal dunia awal pagi ini.

Bapa saudaranya, Mohd. Zaidi Mohd. Sofian, 28, berkata kali terakhir Allahyarham menelefon bapanya, Mohamad Sobri Mohd. Sofian tiga hari lalu sejak dia memasuki maktab tersebut awal Februari ini.

Jenazah Mohammad Naim Mustaqim selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru, Siong di sini malam ini.

No comments:

Post a Comment