Sunday, July 25, 2010

Kes remaja hamil kronik


Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
2010/07/25

Pergaulan bebas punca utama

KUALA LUMPUR: Seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak yang sebahagian besarnya luar nikah sejak 2008 hingga bulan lalu, akibat pergaulan bebas.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.
Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan – Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ada 135 hospital kerajaan di seluruh negara, tetapi usaha Berita Minggu mendapatkan perangkaan di kebanyakan hospital tidak berjaya, kerana antara lain alasan ialah isu sensitif dan bimbang dikenakan tindakan Kementerian Kesihatan.

Sebahagian remaja berkenaan membuat pengakuan sudah berkahwin kepada pihak hospital, ada mendakwa tidak tahu hubungan seks dengan rakan boleh menyebabkan kehamilan, malah ada kes mengaku dirogol.

Bagaimanapun, remaja diklasifikasi kepada dua kategori, bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun. Remaja bawah 16 tahun yang hamil dianggap sebagai kes rogol, walaupun atas dasar suka sama suka.
Justeru, pasangannya boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, manakala remaja di bawah usia 18 tahun akan dirujuk kepada JKM sebagai pelindung yang diwartakan.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Noramni Mohd Yusoff, berkata pihaknya tidak hairan jika angka sebenar remaja bawah umur yang hamil lebih tinggi.
“JKM hanya rekodkan kes dilapor atau memohon perlindungan. Statistik sebenar hanya boleh diperoleh dari hospital seluruh negara,” katanya kepada Berita Minggu.

Tinjauan di HKL dan HTAR, mendapati pada 2008 seramai 106 remaja bawah umur hamil luar nikah, manakala di HKL, 50 kes pada 2008, 67 kes (2009) dan sehingga Jun tahun ini, 38 kes.

Kajian Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL mendapati, kebanyakan remaja bawah umur ini tidak tahu hubungan kelamin boleh menyebabkan kehamilan.

Mereka melakukannya atas dasar ingin mencuba dan berseronok dengan rakan sekelas, kekasih yang lebih berusia selain ada juga kes mengaku dirogol.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HTAR, Dr Mohamad Farouk Abdullah berkata, kajian 2008 mendedahkan kebanyakan remaja berkenaan berusia antara 14 hingga 18 tahun dengan majoritinya, berbangsa Melayu.

“Mungkin jumlahnya lebih lagi, tetapi tidak mustahil ada sebahagian yang menggugurkan kandungan. Memang jika kita lihat dari aspek sosialnya, keadaan ini teruk, tetapi dari sudut perubatan, jika mereka datang awal mendapatkan bantuan perubatan kita boleh membantu dari segi penjagaan sepanjang hamil,” katanya.

Beliau berkata, mendapat penjagaan kesihatan yang sempurna ketika hamil membolehkan remaja ini menginsafi kesilapan mereka, pada masa sama, memberi peluang mereka kembali ke sekolah.

Katanya, sepanjang 2008, 13,189 kelahiran dicatatkan di HTAR dengan 256 membabitkan kelahiran di kalangan remaja bawah umur. Daripada jumlah itu 75.8 peratus mengaku sudah berkahwin, 21.9 peratus tidak berkahwin sementara tiga peratus mendakwa dirogol. Kebanyakan mereka berpendidikan sehingga Penilaian Menengah Rendah (49.6 peratus), Sijil Pelajaran Malaysia (27.7 peratus), manakala bakinya hanya belajar setakat sekolah rendah.

Dalam konteks inilah Dr Farouk berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk masyarakat berfikiran lebih terbuka dalam isu pendidikan seks di sekolah.

“Kebanyakan remaja yang hamil luar nikah ini tidak tahu hubungan intim boleh menyebabkan mereka hamil. Buat sekali tidak hamil, jadi mereka rasa tidak mungkin hamil dan lebih kerap melakukannya dan akhirnya hamil,” katanya.

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Hasnah Sulaiman, berkata memang amat menyedihkan kebanyakan remaja bawah umur ini berbangsa Melayu beragama Islam. Malah latar belakang mereka terbabit ialah daripada keluarga berpendapatan rendah selain kurang ilmu mengenai sistem reproduktif manusia.

“Apabila ditanya, majoriti menjawab mereka buat atas dasar suka sama suka, berseronok-seronok dan tidak sangka boleh mengandung. Jika dulu kita mungkin kata remaja ini adalah bohsia atau minah rempit, tetapi rata-rata hari ini mereka adalah remaja biasa yang lazim kita temui di sekolah dan ada yang bertudung labuh,”

“Jika di HKL, dalam puluhan kes pasti ada lebih daripada satu kes remaja ini datang daripada keluarga yang porak peranda atau jika tidak bermasalah tetapi susah. Malah, kajian kami pada 2004 mendedahkan banyak kes membabitkan remaja yang tinggal bersama keluarga di rumah flat satu bilik,” katanya.

Saturday, July 10, 2010

Kenapa ESQ Haram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang sudah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat serta pegawai kerajaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, menandatangani warta yang mengharamkan modul program motivasi itu pada 10 Jun lalu mengikut subseksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1953, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.
Mengikut warta yang dikeluarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu, program ESQ yang diasaskan warga Indonesia, Ary Ginanjar Agustin, diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami atau mentafsir nas agama (al-Quran dan sunnah) dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama. Mengikut warta itu, kedua-dua fahaman itu adalah sesat dan membawa kepada kekufuran.

Ciri penyelewengan lain adalah;



  • Mendakwa semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian;
  • Menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang Jepun yang berteraskan ajaran Bud-dha;
  • Mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dan Islam;
  • Menekankan konsep suara hati sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik atau buruk sesuatu perbuatan;
  • Mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan triple one. Ini adalah tafsiran bidaah dan sesat; dan
  • Mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik.
Menurut warta itu, dakwaan semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian bercanggah dengan akidah Islam mengenai nabi dan rasul. Mengikut akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah SWT semata-mata dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan, manakala konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir ketika diminta mengulas perkara itu berkata, kerajaan melalui agensinya kini memantau program berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

Sehingga kini hanya Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa itu dan negeri lain belum membuat sebarang tindakan. Bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab seperti mufti dan Jakim akan membuat siasatan terhadap syarikat ini, katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak projek surau Kampung Limau, Pantai Dalam dan tapak cadangan Masjid Tun Rahah, Kerinci, semalam
-BHarian
:

Fatwa ESQ Haram

Friday, July 9, 2010

ESQ Haram

Jakim Akan Teliti Semula Program ESQ - Mashitah

JERLUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dahulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu.

"Kita akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga, jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak, jika benar ada penyelewengan yang berlaku, kita terpaksa ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerlun di sini, pada Jumaat.

Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Katanya, Jakim juga mempunyai rekod berhubung program yang dikendalikan ESQ.

"Program itu masih diteruskan dan hari ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada ia sah atau halal kerana selepas ini, kita tidak tahu apa yang mereka buat, jadi kita akan memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Mashitah berkata beliau percaya keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul ESQ bagi membimbing atau mengelakkan pemesongan akidah.

"Masyarakat kita memang mudah sangat terikut dengan sesuatu perkara, tambahan pula perkara yang melibatkan kesedaran akidah. Tetapi kita perlu menjaga supaya ia tidak terseleweng daripada akidah.

"Kita akan ambil langkah awal untuk mengelakkan perkara itu berlaku kerana ia boleh melibatkan penyelewengan akidah yang lebih dahsyat jika dibiarkan," katanya. - BERNAMA

Wednesday, July 7, 2010

Gambar Myvi Baru


Myvi limite edition sesuai utk wanita









Myvi Untuk Wanita

Myvi edisi khas untuk wanita


Model terbaru edisi khas Myvi bersesuaian untuk pemandu wanita yang memiliki ciri-ciri yang disenangi kumpulan itu mula berada di pasaran mulai hari ini.


KUALA LUMPUR - Memiliki kereta yang sinonim dengan perwatakan wanita menjadi impian pemandu wanita di negara ini, tetapi tidak banyak syarikat pengeluar kereta yang memberi tumpuan untuk memperkenalkan model kereta bersesuaian untuk kumpulan berkenaan.

Kini, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan model terbaru 1.3L Myvi (Mvvi LE) edisi terhad yang memiliki ciri-ciri sporty tetapi bergaya bersesuaian untuk pemandu wanita.

Pengarah Urusan Perodua, Aminar Rashid Salleh berkata, model itu dikeluarkan khas untuk memenuhi permintaan dan cita rasa golongan muda dan wanita bandar.

Selain warna yang menarik, ia turut menampilkan beberapa ciri yang bersesuaian dengan keperluan kumpulan berkenaan.

"Kami memahami keperluan dan pentingnya bagi mereka (wanita muda dan wanita bandar) untuk mempunyai cermin solek dalam kereta.

"Oleh itu, kami menyediakan sekali cermin itu di bahagian sisi bahagian pemandu dalam model kali ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.