Tuesday, June 21, 2011

Lelaki Ramai Di Pahang

Lambakan lelaki di Pahang


2011/06/21

Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
Ketidakseimbangan nisbah bilangan jantina beri implikasi negatif

KUANTAN: Nisbah bilangan jantina yang tidak seimbang di beberapa negeri, termasuk Pahang sehingga menimbulkan fenomena ‘marriage squeeze’, iaitu kekurangan bilangan penduduk dalam kumpulan usia perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.
Berasaskan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Penemuan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan bilangan lelaki di negeri terbabit lebih ramai berbanding wanita.


Laporan itu juga menunjukkan bilangan lelaki dalam usia perkahwinan, iaitu 20 hingga 34 tahun ialah 198,600 orang, lebih ramai berbanding 188,900 wanita manakala nisbah 113 lelaki berbanding 100 wanita pada 2010 bagi Pahang, melebihi paras nasional, iaitu 105 lelaki berbanding 100 wanita.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata ketidakseimbangan nisbah bilangan lelaki dan wanita di Pahang jika dibiarkan akan memberi implikasi dari segi persaingan lelaki untuk mendapatkan pasangan hidup.

“Keadaan ini bukan saja memberi kesan kepada sektor pekerjaan, malah menjejaskan institusi kekeluargaan pada masa akan datang,” katanya selepas menyampaikan taklimat Dasar Keluarga Negara (DKN) & Pelan Tindakan DKN di Wisma Negeri di sini, semalam.
Beliau berkata, tiga punca utama dikenal pasti ialah penghijrahan keluar wanita muda dalam usia perkahwinan secara selektif menyebabkan lelaki terpaksa menunggu lebih lama mendapatkan pasangan, sekali gus menyumbang kepada isu kahwin lewat di kalangan lelaki.

Selain itu, kelahiran bayi lelaki melebihi bilangan jumlah bayi perempuan, iaitu 13,232 berbanding 12,279 pada 2008 dan kemasukan pekerja asing turut memberi kesan dengan nisbah satu warga asing bagi setiap 13 rakyat tempatan dengan jumlahnya 7.5 peratus.


Monday, June 20, 2011

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

Zami Ismail (tengah) bersama dua lagi pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda (kiri) dan Khatijah Tan.

KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Mohd Soupi Zami (Opie Zami), 37, berkata, ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.

"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat IJN, di sini, Ahad.

Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.

"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah mayat Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk disemadikan di kampung halamannya di Tapah, Perak, petang Ahad. - Foto BERNAMA

Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.

Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

Saturday, June 11, 2011

Pekida, KONGSI dan KL Gangster

Pekida Minta David Teo, Yusof Haslam Mohon Maaf

Dari kiri: Roslan Dahaman dan Mohd Hussain Shafie. Foto MOHD SAHAR MISNI.

PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka RoslanDahaman memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua penerbit filem Kongsidan KL Gengstar untuk meminta maaf secara terbuka.

Kedua-dua penerbit itu ialah Datuk Yusof Haslam dari Skop Production yang menerbitkanKL Gengster dan David Teo dari Metrowelth Movie Productions (Kongsi).

Katanya, jika kedua-dua penerbit filem tersebut enggan berbuat demikian mereka akan membawa perkara berkenaan kepada pihak atasan termasuk ke Parlimen.

"Isu kedua-dua filem ini telah menyentuh sensitiviti pertubuhan Pekida. Kami memberi masa selama tujuh hari untuk kedua-dua penerbit itu meminta maaf secara terbuka.

Ahli Pekida berkunjung ke pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia bagi membantah filem Kongsi dan KL Gengster.

"Mereka yang menimbulkan perkara ini dan sepatutnya bertanggungjawab. Kami hanya meminta mereka meminta maaf secara terbuka atas kesilapan tersebut," ujarnya pada sidang di pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), di sini, Jumaat.

Majlis sidang media tersebut diadakan berikutan isu penggunaan dialoq dan pekara-pekara lain dalam filem tersebut telah menyentuh perjuangan Pekida.

Tambah Roslan, pihaknya tidak mahu perkara berkenaan berulang kembali sehingga menjadi ikutan kepada penerbit filem tempatan dalam menghasilkan karya masing-masing.

"Saya tidak mahu apa yang dihasilkan dalam dua filem itu menjadi trend penerbit lain apabila mereka mmenghasilkan filem seumpama itu," tuturnya.

Dalam pada itu, Pengerusi LPFM, Datuk Mohd Hussain Shafie berkata penapisan trhadap filem berkenaan dibuat mengikut garis agensi itu.

"Pihak kami membuat tapisan mengikut empat garis panduan utama iaitu mengambil kira soal keselamatan, kententeraman awam, sensitiviti agama dan tatasusila masyarakat.

"Kedua-dua filem tersebut melepasi keempat-empat tapisan tersebut dan selepas dinilai seramai 70 ahli penal LPFM," katanya.

Bagaimanapun Hussain berkata pihaknya meminta maaf dan mengaku kesilapan mereka melepaskan kedua-dua filem tersebut.

"Saya dan ahli panel yang menilai filem ini tidak arif tentang sensitiviti yang berkaitan dengan apa-apa juga pertubuhan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.

"Kami berjanji selepas ini pemantauan lebih ketat akan dilakukan terutamanya melibatkan sensitiviti segelintir pihak," jelasnya.

Katanya, dia akan membuka peluang kepada ahli Pekida untuk menjadi ahli panel bagi filem-filem akan datang sekiranya ia menjurus kepada pertubuhan tersebut.

Sunday, June 5, 2011

Arahan Tarik Balik Produk Taiwan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan rapi terhadap produk makanan keluaran Taiwan yang tercemar di pasaran tempatan, malah akan merampas produk itu selepas arahan penarikan balik dikeluarkan kepada pengimport.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun. Menurutnya, hukuman denda dan penjara itu boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang bersabit kesalahan pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk membahayakan kesihatan. Kementerian sudah menghubungi semua pengimport produk terbabit untuk melaksanakan tindakan pemanggilan balik produk makanan berkenaan yang berada di pasaran dengan segera.
Dalam pada itu, kementerian juga akan menjalankan pemantauan dan sekiranya produk berkenaan masih dijual, tindakan rampasan akan dijalankan, katanya, melalui satu kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.

Beberapa produk makanan dari Taiwan seperti minuman tenaga, jus buah, jeli, jem, yogurt dan bahan aditif makanan (clouding agent) baru-baru ini dilaporkan tercemar dengan di(2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyi phthalate (DINP).
Susulan itu, Kementerian Kesihatan sudah dimaklumkan Pengurusan Makanan dan Dadah (FDA) Taiwan mengenai makanan yang disahkan tercemar dengan DEHP dan dieksport ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Produk berkenaan ialah jus Sunkist Lemon, Sunkist Lemon Juice Drink With Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange dan Sunkist Orange Juice Drink, yang dikilangkan Country House Inc, Taiwan dan dieksport oleh Sunlight Foods Corp. Selain itu, jus asparagus Uni-President dengan tarikh luput sebelum 18 Mei 2012, dikilangkan Uni-President Enterprises Corp, Taiwan.

Liow berkata, semua pengimportan produk terbabit sudah dilarang masuk ke negara ini manakala produk makanan lain dari negara berkenaan akan dipantau rapi di pasaran dan pintu masuk.
Menurutnya, DEHP dan DINP adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut dan ia boleh dipindahkan kepada makanan dalam proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.

DEHP berkemungkinan menyebabkan kesan karsinogenik ke atas manusia. Namun, masih kekurangan bukti saintifik terhadap kesan berkenaan, katanya.
Beliau berkata, mengenai produk minuman sukan keluaran Young Energy Resource Co Limited, yang dikesan mengandungi DEHP, iaitu Speed Sports Drink 600 mililiter (ml), Speed Sports Drink (perisa lemon) 600ml dan Dong Nung 1000 Sport Drink tidak diimport ke negara ini.
Orang ramai tidak perlu khuatir keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan kawalan dikenakan ke atas makanan terbabit. (Namun), pengguna yang membelinya dinasihati tidak memakan produk berkenaan, katanya.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652 atau melayari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.

Sumber : Harian Metro