Tuesday, September 13, 2011

MLM Malaysia terbongkar di Bangalore

Selepas Manipur, firma MLM Malaysia terbongkar di Bangalore

11/09/2011 5:05pm

CHENNAI 11 Sept – Jejak kotor sebuah syarikat jualan langsung berpangkalan di Malaysia dikesan di Bangalore, selepas polis bandar raya mendedahkan komplot laman kewangan itu dengan penangkapan tiga ejen tempatan.

Polis di ibu negara IT India itu percaya ia merupakan syarikat yang sama yang berdaftar di Batu Caves, yang memperdaya hampir 70,000 pelabur miskin di kawasan luar bandar Manipur, yang terletak di bahagian timur laut India, terbabit di Bangalore.

"Tidak syak lagi tentang itu, ia merupakan syarikat sama dengan cawangan yang banyak.

"Mereka juga beroperasi di Manipur. Kami ingat sekurang-kurangnya 500 hingga 1,000 orang telah melabur di sini dengan syarikat yang berpangkalan di Malaysia,” kata seorang pegawai kanan polis, yang biasa dengan penyiasatan itu, kepada Bernama.

Minggu lepas, polis menangkap pengurus besar dan seorang akauntan Unipay2u, yang mempunyai kaitan dengan syarikat induk di Malaysia, yang menawarkan pulangan menarik kepada para pelabur sehingga setinggi 20 peratus atau lebih.

Syarikat yang digelar pencipta kekayaan dengan pejabat di Puchong Jaya didakwa turut memperkenalkan skim pelaburan istimewa yang lain seperti ”Visarav” dan ”Unit Gold 2u”. – Bernama

Sunday, August 21, 2011

Bapa Hantar Anak Tinggal Di Gereja

Bapa Hantar Lima Beradik Ke Rumah Amal Gereja

PETALING JAYA: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak sampai dua minggu lagi, lain pula dengan nasib lima beradik beragama Islam yang terpaksa menyambut 1 Syawal di bawah pengawasan sebuah gereja, dekat sini.

Semuanya gara-gara tindakan bapa mereka menyerahkan lima beradik terbabit kepada gereja itu selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Yang menyedihkan, lelaki itu yang juga doktor, enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian.

Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.

Kes itu terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan di Gereja Methodist, Damansara Utama, dekat sini, dilaporkan 4 Ogos lalu.

Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah, berkata pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan Baitul Fiq.

“Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.

“Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam),” katanya.

Menurutnya, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.

“Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.

“Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain.

“Yang saya khuatir ialah soal akidah lima beradik itu dan saya sedih dengan tindakan si bapa menempatkan mereka dalam gereja,” katanya.

Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

Katanya, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun ini, dan kemelut yang berlaku dikhuatiri turut menjejaskan persiapan peperiksaannya.

Difahamkan, setakat ini lima beradik terbabit masih beragama Islam tetapi dikhuatiri menukar agama jika waris atau penjaga mengarahkan mereka berbuat demikian kerana hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terletak di tangan waris.

sumber: hmetro.com.my

Saturday, August 13, 2011

Orang Emas Kena Tangkap

‘Saya tak tahu ini salah’

Oleh Fazurawati Che Lah
Harian Metro

DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.
DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.

KUALA LUMPUR: “Saya tak tahu langsung pekerjaan yang saya buat ini sebenarnya salah. Kalau saya tahu, saya tak akan ambil risiko untuk melakukan kerja ini,” kata ‘orang emas’ yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dalam satu operasi di Bukit Bintang, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Dia yang mahu dikenali sebagai Elvis, 42, berkata menjadi ‘orang emas’ atau ‘Gold Man’ adalah sumber rezekinya dan pendapatan diperoleh agak memuaskan serta mampu menampung isteri dan dua anak berusia dua bulan dan tiga tahun yang tinggal di Ipoh, Perak. “Saya diberi jaminan oleh rakan bahawa pekerjaan ini tidak salah dan pihak berkuasa tidak akan mengganggu serta dijanjikan pulangan pendapatan dengan sekelip mata.


“Tanpa berfikir panjang, saya membeli tiket ke Kuala Lumpur seminggu lalu. Ini hari keempat saya bekerja sebagai Gold Man. Tidak sangka akan ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Elvis berkata, kini dia risau memikirkan nasib isteri dan anaknya jika kesalahan yang dilakukan akan menyebabkannya didakwa serta ditahan dalam tempoh yang agak lama.


“Saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak yang masih kecil, bagaimana isteri akan mencari wang untuk menampung kehidupan mereka kerana selama ini dia tidak pernah bekerja,” katanya.


Katanya, sepanjang empat hari melakukan pekerjaan itu dia mampu memperoleh pendapatan antara RM100 dan RM200 dalam sehari.

Apa yang dilakukannya hanyalah berdiri dengan meletakkan satu tin kosong dan mengharap simpati orang ramai memasukkan duit bagi membolehkannya membuat pelbagai gaya sambil orang ramai merakam gambar bersamanya.


Elvis berkata, selepas mengetahui apa dilakukannya menyalahi undang-undang dia menyesal dan akan lebih berhati-hati memilih pekerjaan pada masa hadapan. Sementara itu, Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berkata, kegiatan Elvis yang meraih simpati agar diberikan sumbangan kewangan dianggap sebagai mengemis.



p/s: baru 4 hari? bukan dah bertahun ke ada orang emas kat bukit bintang tu?

Takutnyer lah

Dunia akhir zaman.. bila manusia hidup tanpa pedoman agama..







Motif dendam dirogol, disimbah asid

sumber; mstar.com.my

KUALA LUMPUR – Polis menahan bekas suami kepada seorang wanita yang dilaporkan diperkosa sebelum disimbah asid di rumahnya di Wangsa Maju Rabu lalu.

"Suspek yang berumur 30-an ditahan ketika melawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur. Seutas rantai dipercayai kepunyaan mangsa turut dirampas daripada suspek,” kata Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan di sini semalam.

Beliau juga berkata, berdasarkan keterangan serta pengakuan suspek sendiri, kejadian tersebut adalah bermotifkan dendam kerana masalah rumah tangga.

Kejadian itu berlaku ketika suspek menceroboh rumah mangsa sebelum mangsa pulang daripada membeli juadah untuk berbuka puasa.

Mangsa kemudiannya dikatakan dirogol dan turut disimbah asid sementara rantai lehernya turut diragut.

Zakaria berkata, mangsa hanya cedera dua peratus pada mukanya kerana asid yang dikatakan disimbah itu hanya merupakan cecair peluntur.

Wanita berkenaan mempunyai tiga orang anak berumur antara 3 hingga 11 tahun dan sudah bercerai sejak setahun yang lepas. – Bernama

Tuesday, June 21, 2011

Lelaki Ramai Di Pahang

Lambakan lelaki di Pahang


2011/06/21

Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
Ketidakseimbangan nisbah bilangan jantina beri implikasi negatif

KUANTAN: Nisbah bilangan jantina yang tidak seimbang di beberapa negeri, termasuk Pahang sehingga menimbulkan fenomena ‘marriage squeeze’, iaitu kekurangan bilangan penduduk dalam kumpulan usia perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.
Berasaskan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Penemuan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan bilangan lelaki di negeri terbabit lebih ramai berbanding wanita.


Laporan itu juga menunjukkan bilangan lelaki dalam usia perkahwinan, iaitu 20 hingga 34 tahun ialah 198,600 orang, lebih ramai berbanding 188,900 wanita manakala nisbah 113 lelaki berbanding 100 wanita pada 2010 bagi Pahang, melebihi paras nasional, iaitu 105 lelaki berbanding 100 wanita.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata ketidakseimbangan nisbah bilangan lelaki dan wanita di Pahang jika dibiarkan akan memberi implikasi dari segi persaingan lelaki untuk mendapatkan pasangan hidup.

“Keadaan ini bukan saja memberi kesan kepada sektor pekerjaan, malah menjejaskan institusi kekeluargaan pada masa akan datang,” katanya selepas menyampaikan taklimat Dasar Keluarga Negara (DKN) & Pelan Tindakan DKN di Wisma Negeri di sini, semalam.
Beliau berkata, tiga punca utama dikenal pasti ialah penghijrahan keluar wanita muda dalam usia perkahwinan secara selektif menyebabkan lelaki terpaksa menunggu lebih lama mendapatkan pasangan, sekali gus menyumbang kepada isu kahwin lewat di kalangan lelaki.

Selain itu, kelahiran bayi lelaki melebihi bilangan jumlah bayi perempuan, iaitu 13,232 berbanding 12,279 pada 2008 dan kemasukan pekerja asing turut memberi kesan dengan nisbah satu warga asing bagi setiap 13 rakyat tempatan dengan jumlahnya 7.5 peratus.


Monday, June 20, 2011

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

Zami Ismail (tengah) bersama dua lagi pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda (kiri) dan Khatijah Tan.

KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Mohd Soupi Zami (Opie Zami), 37, berkata, ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.

"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat IJN, di sini, Ahad.

Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.

"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah mayat Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk disemadikan di kampung halamannya di Tapah, Perak, petang Ahad. - Foto BERNAMA

Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.

Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

Saturday, June 11, 2011

Pekida, KONGSI dan KL Gangster

Pekida Minta David Teo, Yusof Haslam Mohon Maaf

Dari kiri: Roslan Dahaman dan Mohd Hussain Shafie. Foto MOHD SAHAR MISNI.

PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka RoslanDahaman memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua penerbit filem Kongsidan KL Gengstar untuk meminta maaf secara terbuka.

Kedua-dua penerbit itu ialah Datuk Yusof Haslam dari Skop Production yang menerbitkanKL Gengster dan David Teo dari Metrowelth Movie Productions (Kongsi).

Katanya, jika kedua-dua penerbit filem tersebut enggan berbuat demikian mereka akan membawa perkara berkenaan kepada pihak atasan termasuk ke Parlimen.

"Isu kedua-dua filem ini telah menyentuh sensitiviti pertubuhan Pekida. Kami memberi masa selama tujuh hari untuk kedua-dua penerbit itu meminta maaf secara terbuka.

Ahli Pekida berkunjung ke pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia bagi membantah filem Kongsi dan KL Gengster.

"Mereka yang menimbulkan perkara ini dan sepatutnya bertanggungjawab. Kami hanya meminta mereka meminta maaf secara terbuka atas kesilapan tersebut," ujarnya pada sidang di pejabat Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), di sini, Jumaat.

Majlis sidang media tersebut diadakan berikutan isu penggunaan dialoq dan pekara-pekara lain dalam filem tersebut telah menyentuh perjuangan Pekida.

Tambah Roslan, pihaknya tidak mahu perkara berkenaan berulang kembali sehingga menjadi ikutan kepada penerbit filem tempatan dalam menghasilkan karya masing-masing.

"Saya tidak mahu apa yang dihasilkan dalam dua filem itu menjadi trend penerbit lain apabila mereka mmenghasilkan filem seumpama itu," tuturnya.

Dalam pada itu, Pengerusi LPFM, Datuk Mohd Hussain Shafie berkata penapisan trhadap filem berkenaan dibuat mengikut garis agensi itu.

"Pihak kami membuat tapisan mengikut empat garis panduan utama iaitu mengambil kira soal keselamatan, kententeraman awam, sensitiviti agama dan tatasusila masyarakat.

"Kedua-dua filem tersebut melepasi keempat-empat tapisan tersebut dan selepas dinilai seramai 70 ahli penal LPFM," katanya.

Bagaimanapun Hussain berkata pihaknya meminta maaf dan mengaku kesilapan mereka melepaskan kedua-dua filem tersebut.

"Saya dan ahli panel yang menilai filem ini tidak arif tentang sensitiviti yang berkaitan dengan apa-apa juga pertubuhan seperti yang dipaparkan dalam filem ini.

"Kami berjanji selepas ini pemantauan lebih ketat akan dilakukan terutamanya melibatkan sensitiviti segelintir pihak," jelasnya.

Katanya, dia akan membuka peluang kepada ahli Pekida untuk menjadi ahli panel bagi filem-filem akan datang sekiranya ia menjurus kepada pertubuhan tersebut.

Sunday, June 5, 2011

Arahan Tarik Balik Produk Taiwan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan rapi terhadap produk makanan keluaran Taiwan yang tercemar di pasaran tempatan, malah akan merampas produk itu selepas arahan penarikan balik dikeluarkan kepada pengimport.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun. Menurutnya, hukuman denda dan penjara itu boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang bersabit kesalahan pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk membahayakan kesihatan. Kementerian sudah menghubungi semua pengimport produk terbabit untuk melaksanakan tindakan pemanggilan balik produk makanan berkenaan yang berada di pasaran dengan segera.
Dalam pada itu, kementerian juga akan menjalankan pemantauan dan sekiranya produk berkenaan masih dijual, tindakan rampasan akan dijalankan, katanya, melalui satu kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.

Beberapa produk makanan dari Taiwan seperti minuman tenaga, jus buah, jeli, jem, yogurt dan bahan aditif makanan (clouding agent) baru-baru ini dilaporkan tercemar dengan di(2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyi phthalate (DINP).
Susulan itu, Kementerian Kesihatan sudah dimaklumkan Pengurusan Makanan dan Dadah (FDA) Taiwan mengenai makanan yang disahkan tercemar dengan DEHP dan dieksport ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Produk berkenaan ialah jus Sunkist Lemon, Sunkist Lemon Juice Drink With Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange dan Sunkist Orange Juice Drink, yang dikilangkan Country House Inc, Taiwan dan dieksport oleh Sunlight Foods Corp. Selain itu, jus asparagus Uni-President dengan tarikh luput sebelum 18 Mei 2012, dikilangkan Uni-President Enterprises Corp, Taiwan.

Liow berkata, semua pengimportan produk terbabit sudah dilarang masuk ke negara ini manakala produk makanan lain dari negara berkenaan akan dipantau rapi di pasaran dan pintu masuk.
Menurutnya, DEHP dan DINP adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut dan ia boleh dipindahkan kepada makanan dalam proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.

DEHP berkemungkinan menyebabkan kesan karsinogenik ke atas manusia. Namun, masih kekurangan bukti saintifik terhadap kesan berkenaan, katanya.
Beliau berkata, mengenai produk minuman sukan keluaran Young Energy Resource Co Limited, yang dikesan mengandungi DEHP, iaitu Speed Sports Drink 600 mililiter (ml), Speed Sports Drink (perisa lemon) 600ml dan Dong Nung 1000 Sport Drink tidak diimport ke negara ini.
Orang ramai tidak perlu khuatir keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan kawalan dikenakan ke atas makanan terbabit. (Namun), pengguna yang membelinya dinasihati tidak memakan produk berkenaan, katanya.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652 atau melayari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.

Sumber : Harian Metro

Wednesday, March 9, 2011

Kayanyerrrrrrr!

Menantu Ketua Menteri Sarawak Fail Tuntutan Fasakh

KUALA LUMPUR: Menantu kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh dan menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian.

Datin Seri Shahnaz A. Majid, 48, memfailkan permohonan tersebut terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib, 48, pada 22 Februari lalu dan kes disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Pasangan tersebut berkahwin pada 9 Januari 1992 di sini dengan berwalikan bapa pengantin perempuan dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya yang berusia 17 tahun.

Shahnaz yang juga kakak kepada penyanyi popular, Sheila Majid memfailkan permohonan itu atas alasan Mahmud Abu Bekir tidak memberikan nafkah batin sejak tahun 2001 menyebabkan beliau digantung tidak bertali yang telah menyusahkan kehidupan beliau.

Selain itu, beliau juga mendakwa defendan telah menunjukkan perubahan bermula tahun 1994 dan 1999 apabila bertindak agresif seperti menumbuk kepala, menendang rusuk dan suka memaki hamun plaintif dengan menggunakan kata-kata kesat.

Plaintif juga mendakwa, suaminya amat jarang pulang ke rumah sejak tahun 1999, tidak boleh ditegur, sukar dihubungi, gemar bersosial dengan perempuan bukan muhrim serta tidak melayan diri beliau dengan adil selepas bernikah dengan seorang wanita Rusia yang berstatus janda yang mempunyai tiga orang anak.

Pada prosiding itu, peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili plaintif memaklumkan Hakim Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad bahawa pihaknya masih belum dapat menyerahkan saman kepada defendan, walaupun percubaan telah dilakukan pada 28 Februari lalu.

“Pihak kami tidak dapoat masuk ke rumah defendan yang terletak di Duta Nusantara (di sini), maka kami memohon perintah mahkamah supaya saman berdaftar disampaikan kepada beliau melalui mahkamah,” tambahnya.

Justeru itu, Mohd Amirul Adam Ahmad menetapkan kes tersebut disebut semula pada 24 Mac ini.

Sementara itu, bagi tuntutan mutaah, Shahnaz menuntut RM100 juta yang dipercayai satu jumlah yang munasabah berdasarkan tempoh perkahwinan mereka selama 19 tahun sebulan selain ia juga berpadanan dengan pendapatan defendan.

Dakwanya, defendan merupakan seorang yang sangat berkemampuan dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Syarikat Cahaya Mata Sarawak yang menjalankan pelbagai perniagaan dan pelaburan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Sehubungan itu, Shahnaz mendakwa jumlah yang dituntut tersebut adalah demi keadilan untuk beliau memulakan kehidupan baru dan menutup rasa aib serta membolehkan beliau untuk hidup dengan taraf dan status yang pernah dilaluinya.

Selain itu, beliau turut menuntut supaya RM300 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian, iaitu harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Mohd Rafie memberitahu, permohonan mutaah dan harta sepencarian tersebut telah ditetapkan untuk menjalani rundingan secara sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Mac ini

Thursday, March 3, 2011

Bayaran Saman Dilanjutkan

Tempoh bayaran saman diskaun dilanjut 10 Mac


PESALAH trafik diberi peluang sehingga 10 Mac ini untuk menjelaskan saman dengan tawaran diskaun.


KUALA LUMPUR - Berita baik kepada pesalah trafik di negara ini yang tidak sempat melunaskan saman mereka sepanjang tawaran diskaun 50 peratus yang berakhir pada 28 Februari lalu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tarikh pembayaran saman itu dilanjutkan sehingga 10 Mac ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat untuk membantu pesalah trafik menjelaskan kompaun sekali gus mengelakkan kenderaan mereka daripada disenarai hitam.

"Keputusan ini juga dibuat kerana kita dapati ada pihak yang ikhlas mahu membayar saman tetapi gagal berbuat demikian disaat-saat akhir kerana sistem di kaunter bayaran tergendala," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sejak Ogos tahun lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran selama enam bulan untuk orang ramai menyelesaikan saman tertunggak termasuk saman ekor dan dalam tempoh itu, tindakan menyenarai hitam pesalah juga ditangguhkan.