Monday, June 28, 2010

Pengajian Percuma Di UiTM

UiTM tawar pengajian percuma kepada pekerja tidak mampu

SHAH ALAM: Golongan pekerja yang berminat untuk mendapatkan pendidikan tinggi namun tidak berkemampuan kini berpeluang berbuat demikian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengajian secara percuma itu akan ditawarkan pada masa terdekat dan pelajar akan mengikutinya menerusi program pengajian jarak jauh dan luar kampus di semua kampus UiTM.

"Tawaran ini adalah satu tanggungjawab sosial (CSR) UiTM yang diusahakan sendiri oleh universiti itu melalui program 'Mengubah Destini Anak Bangsa'," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan dengan Penuntut Baru UiTM, di sini hari ini.
Khaled berkata, tawaran itu adalah untuk semua peringkat umur.

"Mereka yang berminat akan mengikuti satu program pengajian khas sebelum diserapkan ke peringkat diploma bagi mengikuti kursus bersesuaian pada semester berikutnya bergantung kepada keputusan yang dicapai," katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai tawaran pengajian itu boleh didapati menerusi iklan yang akan disiarkan oleh UiTM.

Di bawah program CSR yang sama juga, Khaled berkata, UiTM telah mengambil kira-kira 5,000 penuntut daripada anak golongan miskin yang tidak mendapat keputusan cemerlang bagi mengikuti pengajian pradiploma.
"Semua mereka yang dipilih akan ditempatkan di semua kampus UiTM di seluruh negara dan akan mengikuti pengajian pada peringkat pradiploma selama enam bulan secara percuma," katanya.

Khaled berkata, mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan ditawarkan pengajian peringkat diploma mengikut bidang yang bersesuaian.

Seramai 60,000 penuntut baru UiTM mendaftar untuk mengkuti pengajian pada sesi pengajian kali ini.

Khaled turut meminta universiti lain di negara ini terutamanya universiti swasta menjadi lebih kreatif dalam menjalankan program CSR selain memberikan biasiswa untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

"Kena fikir bagaimana untuk menghijrahkan rakyat Malaysia seperti program yang dilakukan UiTM," katanya. -Bernama

Sunday, June 27, 2010

UPSR & PMR Dimansuhkan?

Henti bunuh potensi pelajar


Anuar Ahmad


CADANGAN supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju, tidak kurang juga meminta supaya sistem penilaian sedia ada dikekalkan.

Wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK meninjau pandangan pakar pendidikan, Anuar Ahmad berhubung cadangan tersebut. Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, sudah tiba masanya sistem penilaian peringkat rendah dan menengah yang terlalu berorientasikan peperiksaan dirombak.

Presiden Persatuan Ibu dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan mempunyai pandangan yang sama. Ketika ditemubual HAFIZAHRIL HAMID, beliau menekankan tentang pentingnya memastikan setiap pelajar menguasai kemahiran asas iaitu Menulis, Membaca dan Mengira daripada terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan semata-mata.

MINGGUAN: Adakah anda bersetuju UPSR dan PMR dimansuh?

ANUAR AHMAD:

Bagi saya bukan mansuh tetapi rombak. Ini kerana memansuhkan sesuatu sistem penilaian akan mengakibatkan kita kehilangan satu aspek penting dalam kurikulum. Dalam setiap kurikulum mesti ada pengajaran dan pembelajaran (P&P), serta penilaian. Kalau tidak ada penilaian akan mencacatkan subjek kurikulum. Dari sudut teori pendidikan semua mengakui bahawa dalam diri manusia ada banyak potensi. Cumanya sebab UPSR terlalu berorientasikan pencapaian akademik, maka potensi-potensi lain walaupun dikembangkan dalam sistem pendidikan rendah tetapi tidak diutamakan. Misalnya dalam bidang sukan, kebudayaan, perbahasan, bahasa komunikasi, interpersonal. Walaupun semua itu penting tetapi oleh kerana sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan maka keperluan itu dikesampingkan.

Saya percaya peperiksaan perlu dirombak supaya semua elemen potensi manusia ini digabungkan semula. Apabila Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dilaksanakan pada 1983, memang sudah mengambil kira semua perkara itu. Cumanya apabila dijadikan dalam bentuk penilaian, penilaian itu telah menjadikan struktur pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan.

Peringkat mana sebenarnya penilaian itu penting?

ANUAR AHMAD: Memang perlu ada dua tahap penilaian iaitu di peringkat rendah dan menengah. Itu mesti wujud. Tetapi untuk sekolah rendah, penilaian mesti dilakukan secara berterusan. Falsafah pendidikan sekolah rendah adalah pelajar menguasai perkara asas. Tidak boleh mana-mana pelajar ditinggalkan walaupun dikategorikan sebagai lemah, atau pendidikan khas iaitu menguasai kemahiran Menulis, Membaca dan Mengira. Oleh itu mungkin pada peringkat paling awal iaitu Tahun 3, guru perlu menilai dan memastikan membuat laporan pencapaian pelajar sama ada telah menguasai perkara asas atau tidak. Untuk Tahun 5 dan 6 kita kena buat intervensi. Jika pelajar tidak boleh menulis, membaca dan mengira dengan baik maka guru mesti ada intervensi untuk menyelesaikan masalah pendidikan asas.

Henti bunuh potensi pelajar


Mohd. Ali Hassan


MINGGUAN: Apa pandangan Datuk tentang isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR?

MOHD ALI: Mungkin sudah terlalu lama sistem pendidikan kita terlalu menekan kepada peperiksaan semata-mata. Kita sebenarnya perlu menghasilkan pelajar yang tidak bergantung kepada peperiksaan tetapi belajar untuk sepanjang hayat. Jelas bahawa perubahan yang mahu dilakukan adalah betul-betul menyeluruh selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Ini termasuklah dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan saya tambah satu lagi iaitu semangat sosialisasi yang baik.

Ini membantu melahirkan pelajar yang mempunyai kecerdasan fizikal (PQ), emosi, (EQ), rohani (SQ), intelek (IQ) dan saya tambah FQ atau kecerdasan kekeluargaan. Semua ini penting dalam keadaan masyarakat majmuk seperti Malaysia dan lebih penting kita tidak mahu anak-anak kita hanya berjaya dalam akademik semata-mata. Ini juga selaras dengan dasar yang mahu dibawa oleh Kementerian Pendidikan iaitu satu pelajar satu sukan. Ini bagus kerana apabila pelajar mempunyai badan yang sihat otak mereka juga sihat. Ini membantu pelajar apabila meningkat dewasa tidak hanya bergantung kepada kerja-kerja yang bersifat akademik dan fakta semata-mata.

Jika kita lihat sekarang ini para pelajar sebenarnya terlalu tertekan dengan peperiksaan. Selain itu pelajar juga dilihat agak ketinggalan dalam bidang bahasa. Jika kita bandingkan dengan penguasaan bahasa pelajar di Singapura misalnya pelajar kita ketinggalan dari segi komunikasi mahupun dalam menyampaikan buah fikiran.

Bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini?

MOHD ALI: Bagi saya adalah penting para pelajar terutama di peringkat rendah mahupun di sekolah menengah benar-benar memahami dan menguasai kaedah 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Ini kerana perkara ini adalah asas dalam pembelajaran. Tanpa mereka menguasai 3M, bagaimana mereka hendak meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi lagi selain meningkatkan tahap mentaliti dan pemikiran mereka.

Oleh itu kita perlu memperhebatkan lagi proses 3M ini untuk mereka memajukan tahap pemikiran mereka dan kemudian dapat terus membudayakan sifat membaca kerana ia mengasah minat mereka sama ada dalam bidang sains, teknologi, pengiraan, sastera dan sebagainya. Sekarang ini selepas sahaja habis peperiksaan tidak ada budaya membaca kerana mereka belajar hanya untuk peperiksaan dan budaya inilah yang akan meningkatkan pemahaman dan kecenderungan mereka. Kalau kita lihat di negara-negara maju budaya membaca adalah asas yang sangat penting.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Friday, June 25, 2010

Pelajar MTD Maut

Maut selepas diarah tekan tubi

KUALA LUMPUR 24 Jun – Seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi di sini, mati setelah tidak sedarkan diri selepas dikenakan hukuman tekan tubi dan ditendang oleh rakannya di dalam sebuah bilik di sekolah itu, awal pagi ini.

Pelajar malang tersebut, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, sempat diberikan rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira pukul 1.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, seorang anggota tentera yang bertugas di MTD menerima maklumat bahawa pelajar terbabit pengsan di biliknya pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke PPAT dan diberikan rawatan kecemasan selama 50 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum tidak sedarkan diri iaitu pada pukul 10.45 malam tadi telah dikenakan hukuman tekan tubi.

“Semasa sedang melakukan tekan tubi itu, seorang pelajar MTD telah menendang perutnya sekali menyebabkan mangsa yang cuba berdiri dan berjalan menjadi tidak stabil.

“Pelajar itu kemudian terjatuh dan kepalanya terhentak ke lantai sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Chin Wah berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa.

Katanya, kematian pelajar terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Seksyen Perhubungan Media, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini hari ini memberitahu, kejadian itu telah dilaporkan di Balai Polis Sungai Besi pada pukul 2 pagi ini.

Menurutnya, satu Lembaga Siasatan turut ditubuhkan oleh MTD untuk mengenal pasti punca dan motif kejadian ini.

Sementara itu di Baling, mangsa, Mohammad Naim Mustaqim pernah menghubungi keluarganya tiga hari lalu untuk memohon maaf sebelum dia meninggal dunia awal pagi ini.

Bapa saudaranya, Mohd. Zaidi Mohd. Sofian, 28, berkata kali terakhir Allahyarham menelefon bapanya, Mohamad Sobri Mohd. Sofian tiga hari lalu sejak dia memasuki maktab tersebut awal Februari ini.

Jenazah Mohammad Naim Mustaqim selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru, Siong di sini malam ini.

Dr. Asri Masuk UMNO

Mohd. Asri Dijangka Serah Borang Umno Sebentar Lagi Kepada Najib

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disebut-sebut akan menyertai Umno dijangka menyerahkan borang keahlian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Satu majlis ringkas penyerahan borang keahlian berkenaan akan diadakan sebelum bermulanya mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang dijadualkan kira-kira pukul 8 malam ini.

Spekulasi kemasukan Mohd. Asri ke dalam parti mendapat perhatian banyak pihak selepas Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd. Rauf Yusof mengumumkan khabar gembira itu semasa merasmikan mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang Sabtu lalu.

Ramai percaya ulama muda itu tidak akan menyertai Umno kerana beliau seorang yang terkenal dengan sikapnya yang berpendirian tegas.

Memetik laman web rasmi parti, Umno Online, Ab Rauf yang juga Naib Ketua Bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Sejak itu, bekas mufti berkenaan mengambil sikap berdiam diri dan memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan Abdul Raof.

Sebelum ini, timbul desas-desus bekas Mufti Perlis itu akan menyertai parti politik dalam masa terdekat.

Beliau telah beberapa kali dilihat menghadiri majlis rasmi Umno dan PAS bagaimanapun sehingga kini tokoh agama itu tidak pernah mengulas mengenai penyertaan beliau dalam mana-mana parti politik.

World Cup

Piala Dunia: Paraguay 0 New Zealand 0


2010/06/24

POLOKWANE: Paraguay menempah tiket ke pusingan kalah mati apabila seri 0-0 dengan New Zealand dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Peter Mokaba, sebentar tadi.

Paraguay layak dengan memperoleh lima mata, sekali gus menjuarai Kumpulan F bersama Slovakia di tempat kedua yang sebelum itu mengejutkan Itali, 3-2.

Wednesday, June 23, 2010

SUKUK 1Malaysia

Sukuk 1Malaysia allocation completed


KUALA LUMPUR: The RM2.4bil Sukuk 1Malaysia 2010 has been allocated to 74,781 investors and successful bidders will be notified by their agent banks, the Finance Ministry said on Wednesday.

The sukuk was issued on Monday.

Sukuk 1Malaysia, scripless and based on syariah principles, is an additional investment instrument for Malaysians aged 21 and above.

The three-year tenure sukuk offers a return of 5%, the ministry said in a statement.

It has a resaleable feature, which provides the flexibility for investors to sell and purchase the sukuk before the maturity date.

The public can obtain information on the availability of Sukuk 1Malaysia 2010 and the daily prices through Bon Info Hub website by visiting www.bondinfo.bnm.gov.my or by checking with their agent banks.

The minimum subscription is RM100 and in multiples of RM100 per investor.-Bernama

Tuesday, June 22, 2010

Penjara Pudu

Tembok Penjara Pudu akhirnya dirobohkan


ORANG ramai menyaksikan detik-detik tembok Penjara Pudu, Kuala Lumpur diruntuhkan malam tadi untuk membuka laluan kepada projek pembinaan bernilai RM5 bilion.


KUALA LUMPUR - Selepas berdiri teguh selama 118 tahun, tembok Penjara Pudu di sini akhirnya diruntuhkan oleh para pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai pukul 10 malam tadi.

Kerja-kerja merobohkan tembok penjara setinggi 4.5 meter dan sepanjang 398 meter itu dijangka mengambil masa empat hari.

Peristiwa tersebut turut menarik perhatian ratusan warga kota dengan ada di antara mereka mengambil gambar kenang-kenangan sebelum tembok itu dirobohkan.

Penjara Pudu dibangunkan selama empat tahun dan siap pada 1895 manakala projek pembinaan tembok itu selesai pada 1892.

Operasi meruntuhkan keseluruhan Penjara Pudu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu.

Selepas itu, kawasan penjara seluas 7.6 hektar itu akan dibangunkan menjadi Bukit Bintang City Centre (BBCC) oleh Uda Holdings Berhad.

Projek itu membabitkan pembinaan 1,100 unit kondominium, hotel, ruang pejabat dan pusat komersial dengan anggaran kos RM5 bilion.


-kosmo.com.my