Sunday, June 5, 2011

Arahan Tarik Balik Produk Taiwan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan rapi terhadap produk makanan keluaran Taiwan yang tercemar di pasaran tempatan, malah akan merampas produk itu selepas arahan penarikan balik dikeluarkan kepada pengimport.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun. Menurutnya, hukuman denda dan penjara itu boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang bersabit kesalahan pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk membahayakan kesihatan. Kementerian sudah menghubungi semua pengimport produk terbabit untuk melaksanakan tindakan pemanggilan balik produk makanan berkenaan yang berada di pasaran dengan segera.
Dalam pada itu, kementerian juga akan menjalankan pemantauan dan sekiranya produk berkenaan masih dijual, tindakan rampasan akan dijalankan, katanya, melalui satu kenyataan dikeluarkan, di sini, semalam.

Beberapa produk makanan dari Taiwan seperti minuman tenaga, jus buah, jeli, jem, yogurt dan bahan aditif makanan (clouding agent) baru-baru ini dilaporkan tercemar dengan di(2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyi phthalate (DINP).
Susulan itu, Kementerian Kesihatan sudah dimaklumkan Pengurusan Makanan dan Dadah (FDA) Taiwan mengenai makanan yang disahkan tercemar dengan DEHP dan dieksport ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Produk berkenaan ialah jus Sunkist Lemon, Sunkist Lemon Juice Drink With Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange dan Sunkist Orange Juice Drink, yang dikilangkan Country House Inc, Taiwan dan dieksport oleh Sunlight Foods Corp. Selain itu, jus asparagus Uni-President dengan tarikh luput sebelum 18 Mei 2012, dikilangkan Uni-President Enterprises Corp, Taiwan.

Liow berkata, semua pengimportan produk terbabit sudah dilarang masuk ke negara ini manakala produk makanan lain dari negara berkenaan akan dipantau rapi di pasaran dan pintu masuk.
Menurutnya, DEHP dan DINP adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut dan ia boleh dipindahkan kepada makanan dalam proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.

DEHP berkemungkinan menyebabkan kesan karsinogenik ke atas manusia. Namun, masih kekurangan bukti saintifik terhadap kesan berkenaan, katanya.
Beliau berkata, mengenai produk minuman sukan keluaran Young Energy Resource Co Limited, yang dikesan mengandungi DEHP, iaitu Speed Sports Drink 600 mililiter (ml), Speed Sports Drink (perisa lemon) 600ml dan Dong Nung 1000 Sport Drink tidak diimport ke negara ini.
Orang ramai tidak perlu khuatir keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan kawalan dikenakan ke atas makanan terbabit. (Namun), pengguna yang membelinya dinasihati tidak memakan produk berkenaan, katanya.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652 atau melayari laman web http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.

Sumber : Harian Metro

Wednesday, March 9, 2011

Kayanyerrrrrrr!

Menantu Ketua Menteri Sarawak Fail Tuntutan Fasakh

KUALA LUMPUR: Menantu kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh dan menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian.

Datin Seri Shahnaz A. Majid, 48, memfailkan permohonan tersebut terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib, 48, pada 22 Februari lalu dan kes disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Pasangan tersebut berkahwin pada 9 Januari 1992 di sini dengan berwalikan bapa pengantin perempuan dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya yang berusia 17 tahun.

Shahnaz yang juga kakak kepada penyanyi popular, Sheila Majid memfailkan permohonan itu atas alasan Mahmud Abu Bekir tidak memberikan nafkah batin sejak tahun 2001 menyebabkan beliau digantung tidak bertali yang telah menyusahkan kehidupan beliau.

Selain itu, beliau juga mendakwa defendan telah menunjukkan perubahan bermula tahun 1994 dan 1999 apabila bertindak agresif seperti menumbuk kepala, menendang rusuk dan suka memaki hamun plaintif dengan menggunakan kata-kata kesat.

Plaintif juga mendakwa, suaminya amat jarang pulang ke rumah sejak tahun 1999, tidak boleh ditegur, sukar dihubungi, gemar bersosial dengan perempuan bukan muhrim serta tidak melayan diri beliau dengan adil selepas bernikah dengan seorang wanita Rusia yang berstatus janda yang mempunyai tiga orang anak.

Pada prosiding itu, peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili plaintif memaklumkan Hakim Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad bahawa pihaknya masih belum dapat menyerahkan saman kepada defendan, walaupun percubaan telah dilakukan pada 28 Februari lalu.

“Pihak kami tidak dapoat masuk ke rumah defendan yang terletak di Duta Nusantara (di sini), maka kami memohon perintah mahkamah supaya saman berdaftar disampaikan kepada beliau melalui mahkamah,” tambahnya.

Justeru itu, Mohd Amirul Adam Ahmad menetapkan kes tersebut disebut semula pada 24 Mac ini.

Sementara itu, bagi tuntutan mutaah, Shahnaz menuntut RM100 juta yang dipercayai satu jumlah yang munasabah berdasarkan tempoh perkahwinan mereka selama 19 tahun sebulan selain ia juga berpadanan dengan pendapatan defendan.

Dakwanya, defendan merupakan seorang yang sangat berkemampuan dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Syarikat Cahaya Mata Sarawak yang menjalankan pelbagai perniagaan dan pelaburan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Sehubungan itu, Shahnaz mendakwa jumlah yang dituntut tersebut adalah demi keadilan untuk beliau memulakan kehidupan baru dan menutup rasa aib serta membolehkan beliau untuk hidup dengan taraf dan status yang pernah dilaluinya.

Selain itu, beliau turut menuntut supaya RM300 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian, iaitu harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Mohd Rafie memberitahu, permohonan mutaah dan harta sepencarian tersebut telah ditetapkan untuk menjalani rundingan secara sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Mac ini

Thursday, March 3, 2011

Bayaran Saman Dilanjutkan

Tempoh bayaran saman diskaun dilanjut 10 Mac


PESALAH trafik diberi peluang sehingga 10 Mac ini untuk menjelaskan saman dengan tawaran diskaun.


KUALA LUMPUR - Berita baik kepada pesalah trafik di negara ini yang tidak sempat melunaskan saman mereka sepanjang tawaran diskaun 50 peratus yang berakhir pada 28 Februari lalu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tarikh pembayaran saman itu dilanjutkan sehingga 10 Mac ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat untuk membantu pesalah trafik menjelaskan kompaun sekali gus mengelakkan kenderaan mereka daripada disenarai hitam.

"Keputusan ini juga dibuat kerana kita dapati ada pihak yang ikhlas mahu membayar saman tetapi gagal berbuat demikian disaat-saat akhir kerana sistem di kaunter bayaran tergendala," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sejak Ogos tahun lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran selama enam bulan untuk orang ramai menyelesaikan saman tertunggak termasuk saman ekor dan dalam tempoh itu, tindakan menyenarai hitam pesalah juga ditangguhkan.

Saturday, December 25, 2010

Pemenang Anugerah Skrin 2010

Antara Garisan, Muallaf Ungguli ASK2010

Norkhiriah dan Fauzi Nawawi memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama dan Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2010 di PWTC, Jumaat. - Foto oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Drama arahan Shahrul Ezad Mohamedin, Antara Garisan berjaya dinobatkan sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2010 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Jumaat malam.

Drama yang membariskan pelakon-pelakon seperti Azma Aizal Yusoof, Norkhiriah dan Ungku Ismail itu menewaskan empat buah drama lain iaitu Sebelum Akhirat, Dalil Cinta, Kaki dan Perempuan.

Sharifah Amani memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem Muallaf.

Drama ini turut memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Norkhiriah yang sebelum ini pernah meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada ASK2007, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Azma Aizal Yusoof) dan Lakon TV Terbaik (Shahrul Ezad Mohamedin).

Kategori Pengarah Terbaik Drama dianugerahkan kepada Murali Abdullah menerusi drama Sebelum Akhirat.

Fauzi Nawawi pula berjaya menewaskan Fahrin Ahmad, Rosyam Nor, Syed Ali dan Ungku Ismail bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi lakonannya di dalam drama Sebelum Akhirat.

Sementara kemenangan Filem Terbaik berpihak kepada Muallaf arahan Yasmin Ahmad.

Bront Palarae meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem Belukar.

Filem tersebut turut memenangi anugerah Pengarah Filem Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Filem (Sharifah Amani).

Turut memenangi anugerah ASK2010 adalah Pelakon Lelaki Terbaik Filem iaitu Bront Palarae menerusi filem Belukar.

Kesemua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan menerima trofi serta hadiah lawatan ke Los Angeles.

Trofi disampaikan oleh barisan artis terkenal seperti Erra Fazira, Nasha Aziz, Fahrin Ahmad, Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Mia Sara, Fouziah Gous dan Fizz Fairuz.

Turut hadir ke majlis berprestij itu adalah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, isteri Datin Seri Maznah Rais, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.

Drama rantaian Nur Kasih memenangi anugerah Drama Rantaian Terbaik.

Acara tersebut telah dihoskan oleh Vanidah Imran dan Awal Ashaari serta disiarkan secara langsung di TV3.

Secara keseluruhan, ASK 2010 mempertandingkan 24 kategori meliputi drama,filem dan penerbitan dalaman.

Sepuluh kategori drama bakal dipertandingkan termasuk Anugerah VideografiTerbaik yang baru diperkenalkan pada tahun lepas.

Manakala jumlah filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.

Anugerah Skrin 2010 ini mempertandingkan 17 buah drama, 12 drama rantaian dan lima drama komedi. Manakala kategori filem pula 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan kali ini.

Calon-calon yang dipertandingkan terdiri daripada terbitan yang ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2010.

Senarai pemenang Anugerah Skrin 2010:

Kategori Filem

Filem Terbaik: Muallaf

Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Bront Palarae (Belukar)

Pelakon Wanita Terbaik Filem: Sharifah Amani (Muallaf)

Pengarah Terbaik Filem: Yasmin Ahmad (Muallaf)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fazura (Pisau Cukur)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Aaron Aziz (Evolusi KL Drift 2)

Lakon Layar Terbaik Filem: Shamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2)

Kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Komedi Bersiri

Drama Terbaik: Antara Garisan

Pelakon Lelaki Terbaik: Fauzi Nawawi (Sebelum Akhirat)

Pelakon Wanita Terbaik: Norkhiriah (Antara Garisan)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Azma Aizal Yusoof (Antara Garisan)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fadilah Mansor (Sebelum Akhirat)

Pengarah Terbaik: Murali Abdullah (Sebelum Akhirat)

Lakon TV Terbaik : Shahrul Ezad Mohamedin (Antara Garisan)

Drama Rantaian Terbaik: Nur Kasih

Drama Komedi Terbaik: Simpang 3

Kategori Penerbitan Dalaman

Dokumentari atau Majalah Terbaik: Epik Suatu Ketika (Laskar Senoi) (Astro Prima)

Bual Bicara Terbaik: Isu Khas Gaza Palestin Kami Bersamamu (RTM)

Rancangan Muzikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 24 (TV3)

Rancangan Hiburan Terbaik: Anugerah Bintang Popular

Rancangan Realiti Terbaik: Showdown 2010 Episod 10 (8TV)

Laporan Khas/ Berita Terbaik: Aduan Rakyat Berbumbung Langit (TV3)

Videografi Terbaik: Datang Bulan

Anugerah Yasmin Ahmad: Shaheizy Sam

Friday, December 24, 2010

Meninggal Kerana Terlebih Bekerja

Doctor dies of overwork

Dr Chen Chih-Chuan

Dr Chen Chih-Chuan

A doctor at the National Taiwan University Hospital is suspected to have died of overwork.

Dr Chen Chih-Chuan, 41, of the Department of Neurology, collapsed and died last month.

Soon after his death, another doctor from the same department, Dr Tseng Sheng-hong, 55, fainted while on duty at the hospital.

Dr Tseng, however, recovered after receiving treatment.

Dr Chen was found at his home in Taipei by members of his family, who went to check after they lost contact with him.

He had died by then.

According to his colleagues, Dr Chen had been working for more than 12 hours daily for about six months before his death.

They said he had to go to round the wards, analyse brain wave reading reports as well as carry out medical research and education work.

They believed Dr Chen died of overwork.
Source: ETTV, Taiwan

Link: Chinese worker dies of overwork

Sunday, December 12, 2010

Ibu Izinkan Anak 14 Tahun Berkahwin

“Saya yang izinkan mereka berkahwin”

PETALING JAYA: “Saya yang izinkan mereka berkahwin...” - itulah kata-kata pertama yang keluar dari mulut Siti Hawa Kassim, ibu kepada pengantin perempuan yang mencetuskan kontroversi kerana berkahwin pada usia 14 tahun minggu lalu.

Siti Hawa, 40, menjelaskan, dia dan suaminya memberi keizinan kepada Siti Maryam Mahmod yang lebih mesra dengan panggilan Maya itu untuk berkahwin kerana yakin, pendidikan agama yang telah diberikan dapat membimbing anaknya itu menjadi seorang isteri yang matang untuk menempuhi alam rumahtangga yang serba mencabar.

Keputusan itu juga dibuat setelah suami kepada anaknya itu berjanji dan bersetuju untuk memastikan Siti Maryam menamatkan pengajian menengahnya di sebuah sekolah menengah agama dekat sini.

“Anak saya sudah akil baligh dan diberikan pendidikan agama. Saya percaya suaminya juga boleh membimbingnya ke arah yang lebih baik. Malah keputusan ini juga mengambil kira janji suaminya untuk memastikan dia belajar sehingga tamat pengajiannya,” kata ibu yang bertugas di sebuah syarikat multinasional di ibu kota ini dalam temuramah eksklusif dengan Mingguan mStar semalam.

Siti Hawa yang tidak mahu gambarnya disiarkan demi untuk menjaga privasinya menambah, suami Maya (Abdul Manan Othman) adalah seorang guru dan seorang lelaki yang baik dan yakin Manan boleh melakukannya (membimbing Siti Maryam) memandangkan dia juga diberikan pendidikan agama yang tinggi.

Siti Hawa berkata, sebelum memberi keizinan Abdul Manan dan Siti Maryam atau lebih dikenali sebagai Maya untuk berkahwin, dia sudah membuat solat istikarah bagi memohon petunjuk daripada tuhan.

Detik perkenalan pasangan suami isteri muda itu bermula apabila Abdul Manan yang merupakan guru agama mengajar dua orang adik Maya.

Hubungan baik dan sikap ramah Abdul Manan telah mendorong Siti Hawa untuk mengambil dia sebagai anak angkat dan menjadi sebahagian daripada keluarga itu.

Isu perkahwinan Maya pada usia muda telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan banyak pihak termasuk mendapat reaksi daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sharizat Jalil yang menyatakan keputusan mahkamah untuk membenarkan Maya berkahwin bukanlah merupakan satu polisi yang direstui oleh Kerajaan Pusat.

Pelbagai pertubuhan wanita dan hak asasi wanita turut tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun dalam menjawab semua persoalan itu, Siti Hawa tidak dinafikan pada peringkat awalnya dia berasa terkilan apabila segelintir pihak tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Menurutnya, sebagai rakyat 1Malaysia, masyarakat sepatutnya menghormati antara satu sama lain, tidak kira bangsa atau agama.

“Bagaimanapun akhirnya saya sedar itu adalah hak individu untuk bersuara. Lain orang lain pendapatnya. Apa yang penting adalah tindakan saya mengizinkan Maya berkahwin pada usia muda itu tidak bercanggah daripada hukum syarak dan agama.

Namun sebagai seorang ibu, Siti Hawa yang enggan gambarnya disiarkan berharap agar masyarakat berfikiran terbuka dan rasional mengenai perkara tersebut.

“Masing-masing mempunyai pandangan tetapi janganlah menafikan hak kami sekeluarga dan keputusan Maya dan Manan untuk berkahwin dibuat selepas mendapat restu daripada pihak kami serta kebenaran daripada mahkamah.

Dalam pada itu, Siti Hawa juga menegaskan, dia sentiasa memantau anaknya dan Abdul Manan Othman dari segala aspek meskipun kedua-duanya sudah menjadi suami isteri yang sah.

“Sebagai ibu, saya tidak akan membiarkan anak-anak saya sendirian menghadapi risiko berkahwin pada usia muda ini.

“Sebelum mereka berkahwin lagi sudah diperjelaskan tentang apa itu perkahwinan. Setiap kejadian itu ditentukan oleh Allah, ada hikmah di sebalik sebarang kejadian,” katanya.

Siti Hawa juga berpendapat perkahwinan anaknya pada usia 14 tahun bukanlah satu isu yang besar kerana baginya kematangan bukan lah terletak pada umur seseorang tetapi sebaliknya terletak pada pendekatan dan pendidikan yang diterimanya.

“Konsep perkahwinan awal ini sebenarnya boleh membendung perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Kita semua sedia maklum tentang permasalahan masyarakat yang berlaku di negara ini sedangkan perkahwinan anak saya adalah satu perkahwinan yang sah,” ujarnya lagi.

Menurut Siti Hawa, perkahwinan itu juga tidaklah bermakna perhubungan di antara ibu dan anak terputus kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga masing-masing.

“Walaupun Maya sudah bergelar isteri orang, namun saya masih bertanggungjawab memberikan nasihat dan memastikan anak saya itu meneruskan pembelajarannya di sekolah sehingga tamat,” katanya.

“Saya berharap masyarakat berdoa semoga perkahwinan mereka diberkati dan saya berterima kasih kepada mereka yang telah membantu dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Bas IKM Terbalik di Gua Tempurung

Tiga Parah Bas Terbabas Di Gua Tempurung

IPOH: Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng, Sabtu.

Ketiga-tiga pelajar berusia antara 19 dan 23 tahun itu kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Kejadian pada pukul 6 petang itu membabitkan bas yang dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas menghadiri majlis makan tengah hari Jawatankuasa Perwakilan Pejalar (JPP) di Cameron Highlands.

Bas terbabit membawa 41 penumpang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan anggota keluarga mereka serta lima pemandu.

Kesemua mereka hanya mengalami luka ringan, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Mohd Aminuddin Abdul Rahim ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata bas itu dipercayai terbabas ketika mengelak sebuah bas lain ketika menuruni kawasan Gua Tempurung dalam keadaan hujan lebat.

"Kemungkinan brek yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan pemandu bas gagal mengawal kenderaan itu menyebabkannya terbabas ke dalam longkang dan terbalik," katanya. - BERNAMA