Mencari kehebatan KLIMS 2010
ESOK, acara pemotoran terbesar di Malaysia, Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2010) akan melabuhkan tirainya. Kali terakhir dianjurkan lima tahun lalu, ia boleh dikatakan sebagai destinasi wajib pergi bagi semua peminat kereta.
Di KLIMS, para pengunjung dihidangkan dengan pelbagai jenama kereta di bawah satu bumbung. Antaranya termasuklah model yang sudah berada di pasaran, bakal menjengah bilik-bilik pameran tidak lama lagi mahupun model-model konsep berteknologi tinggi dan reka bentuk futuristik.
KLIMS 2010 mengangkat tema sama yang menjadi tunjang kepada pameran pemotoran lain di seluruh dunia. Dengan tema We Care, ia memberi fokus kepada teknologi hijau yang meliputi teknologi hibrid dan kenderaan elektrik atau EV (Electric Vehicle).
"KLIMS 2010 bukan sekadar mempamerkan kenderaan dan teknologi terbaru automotif. Malah, ia menjadi manifestasi kepada evolusi yang dialami oleh industri automotif tempatan selama 50 tahun," jelas Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.
Dianjurkan oleh MAA selama 10 hari, hari pertama KLIMS 2010 yang dikhaskan untuk sekumpulan wartawan sarat dengan acara pelancaran model-model baru.
Paling menarik, datangnya dari lokasi pameran milik Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB). Mengambil kesempatan atas pengecualian cukai import dan duti eksais ke atas model hibrid bawah 2,000cc yang diumumkan oleh kerajaan, HMSB tidak menunggu lama untuk melancarkan model Insight.
Dijual pada harga RM98,000 seunit di atas jalan, Insight merupakan model hibrid paling murah yang boleh anda peroleh di pasaran. Sebelum ini, pengguna tempatan ditawarkan dengan model hibrid seperti Honda Civic Hybrid dan Toyota Prius.
Harus tahu bahawa Insight telah menerima banyak pembaharuan dari segi teknologi berbanding generasi sebelumnya.
"Selari dengan objektif untuk mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2), pembinaan Insight generasi kedua berasaskan kepada empat aspek utama iaitu mesra alam, praktikal, menyeronokkan dan mampu milik," kata Pengarah HMSB, Shigeru Yamazaki.
Tidak perlu bimbang tentang kos penyelenggaraannya. HMSB menawarkan jaminan lima tahun atau perbatuan mencecah 140,000 kilometer (yang mana tiba dahulu). Malah, HMSB akan menurunkan harga alat-alat ganti Insight terutama baterinya sebanyak 40 peratus.
Toyota pula membawa model konsep FT-HS Hybrid Sports dan 1/X yang menggunakan enjin hijau. Ia menggabungkan teknologi enjin petrol dan sistem pacuan hibrid plug-in. Turut memenuhi ruang Toyota ialah model-model yang sudah berada di pasaran termasuklah Prius, Corolla Altis dan trak pikap Hilux. Lexus pula hanya mempamerkan model hibrid seperti Lexus RX 450h dan LS 600h yang dilancarkannya baru-baru ini.
Tiada model baru untuk dipersembahkan, Mitsubishi Motor Malaysia mengambil inisiatif untuk mengujakan pengunjung menerusi dua model konsep yang berpaksikan kepada teknologi EV. Model Concept PX-MiEV dan i-MiEV Sport Air sebelum ini pernah melakukan debut di Tokto dan Geneva.
Proton tampil dengan kenderaan elektrik yang dinamakan sebagai Proton Exora Extended Range Electric Vehicle. Mengambil ruang pameran yang luas di KLIMS 2010, Proton mempamerkan model-model Lotus dan Saga EV. Di samping rangkaian model daripada siri Pahlawan yang meliputi model Jebat (Inspira), Kasturi (Saga) Lekiu (Exora), Tuah (Persona) dan Lekir (Lotus Europa). Tidak ketinggalan, Satria Neo R3 Concept.
Mencipta revolusi
Tapak pameran Perodua menampilkan model ptototaipnya, Perodua Bezza yang merupakan inovasi tenaga kerja tempatan 100 peratus. Mengangkat tema Ekologi, Ekonomi dan Keterujaan kepada semua, Perodua menunjukkan kepada orang ramai mengenai laluan pembangunan enjinnya yang dilihat mampu mencipta revolusi dalam industri automotif tempatan. Pastinya, pembangunan enjin tersebut melibatkan kerjasama teknikal dengan pihak Daihatsu dari Jepun.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mempamerkan hala tuju reka bentuk inovatif Nissan. Ruang pamerannya dihiasi dengan model SUV Juke yang menawarkan reka bentuk unik. Tidak cukup? Nissan juga mengetengahkan model MPV saiz penuhnya Elgrand, model kompak Nissan March serta sedan mewah yang baru dilancarkannya, Nissan Teana.
Lebih menarik, ETCM melancarkan jentera berkuasa tinggi yang diimport sepenuhnya (CBU), Nissan 370Z Roadster. Model convertible dua tempat duduk itu dijana oleh unit enjin bersesaran 3.7 liter VQ37VHR. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan.
Nissan 370Z Roadster ditawarkan pada harga RM382,520 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan bayaran pendaftaran.
Jauh ketinggalan
Di sebalik semua pelancaran dan pameran itu, secara peribadinya penulis berpendapat KLIMS 2010 adalah mengecewakan. Penulis bukan membandingkannya dengan pameran sama yang dilangsungkan di Tokyo, Geneva, Paris, Detroit atau Beijing. Tetapi, jika dibandingkan dengan Bangkok Motor Show atau Jakarta Motor Show sekali pun, KLIMS 2010 sudah jauh ketinggalan.
Pertama, dari aspek penyertaan daripada pengeluar kenderaan. Di mana pemain industri dari Eropah seperti Mercedes-Benz, BMW, Audi, Volkswagen atau Renault? Jenama mat saleh yang ada cuma Peugeot dan Chevrolet, itu pun kerana ia berada di bawah naungan Kumpulan Naza.
Syarikat dari Jepun pun ada yang tidak mengambil bahagian. Kelibat Suzuki misalnya tidak kelihatan. Jenama motosikal apatah lagi. Bayang motosikal Modenas, Honda, Yamaha atau Suzuki memang tiada. Mujur ada Naza, maka bolehlah pengunjung melihat pelbagai model di bawah jenama Vespa, Gilera, Aprilia, Ducati dan Harley-Davidson.
Jenama Korea dilihat lebih bernasib baik kerana Sime Darby mengambil keputusan untuk melancarkan model SUV terbarunya, Hyundai Santa Fe dan memperkenalkan sedan Avante di negara tersebut.
Kia pula, 'diselamatkan' oleh Naza yang melancarkan model SUV, Sorento. Ruang pameran Kia dimeriahkan dengan penampilan model dua pintu Kia Forte Koup yang dijangka menerjah pasaran pada tahun depan.
Boleh dikatakan Naza menjadi entiti yang paling aktif di KLIMS 2010. Bukan sekadar mengambil ruang yang besar untuk semua jenama di bawah naungannya, Naza juga melancarkan model baru seperti MPV premium Peugeot 5008 dan Ducati Duavel. Dominasi Naza membuatkan seorang rakan berseloroh bahawa KLIMS 2010 seakan-akan sudah menjadi pameran kereta Naza.
Syarikat tayar kecuali Continental tiada yang berminat untuk mengambil bahagian.
Selain itu, pihak media juga dibiarkan kebingungan. Kami tidak diberi jadual acara yang berlangsung pada hari itu selain daripada program majlis pembukaan. Maka, terpaksalah kami bertanya kepada syarikat kereta apa yang akan berlaku di ruang pameran masing-masing.
|
|
Ciri antarabangsa KLIMS 2010
Selain jumlah penyertaan dan ruang pameran yang kian mengecil, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sudah tidak lagi sesuai untuk dijadikan tempat penganjuran acara bertaraf antarabangsa terutamanya KLIMS. Jika sedekad lalu, ia mungkin lokasi yang terbaik. Kini, dengan kedudukan antara dewan yang jauh, saiz dewan yang kecil, jumlah parkir terhad selain kondisi bilik air yang sudah uzur, penganjur KLIMS sepatutnya sudah matang untuk memilih lokasi lain.
Apakah yang antarabangsa tentang KLIMS 2010? Sudahlah bilangan kenderaan yang dipamerkan sedikit, tiada debut antarabangsa, kurang penyertaan industri hiliran (aksesori misalnya) malah bilangan wartawan asing pun sukar ditemui. Jadi, perkataan antarabangsa itu merujuk kepada apa?
Pengunjung juga dicanangkan dengan kehadiran replika watak robot daripada filem blockbuster Hollywood, Transformers iaitu Bumblebee. Robot Bumblebee setinggi lima meter yang berubah bentuk daripada model Chevrolet Camaro SS itu dilihat sekadar menjadi tarikan untuk jualan patung-patung mainan Transformers. Sedangkan kereta Chevrolet Camaro SS sebenar diletakkan di satu sudut yang lain.
Meskipun pengunjung berpeluang melihat kenderaan yang digunakan oleh watak adiwira Batman iaitu Batmobile, namun kualiti penghasilannya tidak mampu mengagumkan sesiapa pun termasuklah pelajar sekolah rendah.
Gabungan semua faktor itu membuatkan KLIMS 2010 sebagai satu acara yang membosankan dan tidak mencapai tahap antarabangsa. Ia bukanlah kritikan secara membuta tuli. Penulis yakin penganjur acara di Malaysia mampu melaksanakan program yang jauh lebih hebat daripada KLIMS 2010.
No comments:
Post a Comment