PETALING JAYA: “Saya yang izinkan mereka berkahwin...” - itulah kata-kata pertama yang keluar dari mulut Siti Hawa Kassim, ibu kepada pengantin perempuan yang mencetuskan kontroversi kerana berkahwin pada usia 14 tahun minggu lalu.
Siti Hawa, 40, menjelaskan, dia dan suaminya memberi keizinan kepada Siti Maryam Mahmod yang lebih mesra dengan panggilan Maya itu untuk berkahwin kerana yakin, pendidikan agama yang telah diberikan dapat membimbing anaknya itu menjadi seorang isteri yang matang untuk menempuhi alam rumahtangga yang serba mencabar.
Keputusan itu juga dibuat setelah suami kepada anaknya itu berjanji dan bersetuju untuk memastikan Siti Maryam menamatkan pengajian menengahnya di sebuah sekolah menengah agama dekat sini.
“Anak saya sudah akil baligh dan diberikan pendidikan agama. Saya percaya suaminya juga boleh membimbingnya ke arah yang lebih baik. Malah keputusan ini juga mengambil kira janji suaminya untuk memastikan dia belajar sehingga tamat pengajiannya,” kata ibu yang bertugas di sebuah syarikat multinasional di ibu kota ini dalam temuramah eksklusif dengan Mingguan mStar semalam.
Siti Hawa yang tidak mahu gambarnya disiarkan demi untuk menjaga privasinya menambah, suami Maya (Abdul Manan Othman) adalah seorang guru dan seorang lelaki yang baik dan yakin Manan boleh melakukannya (membimbing Siti Maryam) memandangkan dia juga diberikan pendidikan agama yang tinggi.
Siti Hawa berkata, sebelum memberi keizinan Abdul Manan dan Siti Maryam atau lebih dikenali sebagai Maya untuk berkahwin, dia sudah membuat solat istikarah bagi memohon petunjuk daripada tuhan.
Detik perkenalan pasangan suami isteri muda itu bermula apabila Abdul Manan yang merupakan guru agama mengajar dua orang adik Maya.
Hubungan baik dan sikap ramah Abdul Manan telah mendorong Siti Hawa untuk mengambil dia sebagai anak angkat dan menjadi sebahagian daripada keluarga itu.
Isu perkahwinan Maya pada usia muda telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan banyak pihak termasuk mendapat reaksi daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sharizat Jalil yang menyatakan keputusan mahkamah untuk membenarkan Maya berkahwin bukanlah merupakan satu polisi yang direstui oleh Kerajaan Pusat.
Pelbagai pertubuhan wanita dan hak asasi wanita turut tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun dalam menjawab semua persoalan itu, Siti Hawa tidak dinafikan pada peringkat awalnya dia berasa terkilan apabila segelintir pihak tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.
Menurutnya, sebagai rakyat 1Malaysia, masyarakat sepatutnya menghormati antara satu sama lain, tidak kira bangsa atau agama.
“Bagaimanapun akhirnya saya sedar itu adalah hak individu untuk bersuara. Lain orang lain pendapatnya. Apa yang penting adalah tindakan saya mengizinkan Maya berkahwin pada usia muda itu tidak bercanggah daripada hukum syarak dan agama.
Namun sebagai seorang ibu, Siti Hawa yang enggan gambarnya disiarkan berharap agar masyarakat berfikiran terbuka dan rasional mengenai perkara tersebut.
“Masing-masing mempunyai pandangan tetapi janganlah menafikan hak kami sekeluarga dan keputusan Maya dan Manan untuk berkahwin dibuat selepas mendapat restu daripada pihak kami serta kebenaran daripada mahkamah.
Dalam pada itu, Siti Hawa juga menegaskan, dia sentiasa memantau anaknya dan Abdul Manan Othman dari segala aspek meskipun kedua-duanya sudah menjadi suami isteri yang sah.
“Sebagai ibu, saya tidak akan membiarkan anak-anak saya sendirian menghadapi risiko berkahwin pada usia muda ini.
“Sebelum mereka berkahwin lagi sudah diperjelaskan tentang apa itu perkahwinan. Setiap kejadian itu ditentukan oleh Allah, ada hikmah di sebalik sebarang kejadian,” katanya.
Siti Hawa juga berpendapat perkahwinan anaknya pada usia 14 tahun bukanlah satu isu yang besar kerana baginya kematangan bukan lah terletak pada umur seseorang tetapi sebaliknya terletak pada pendekatan dan pendidikan yang diterimanya.
“Konsep perkahwinan awal ini sebenarnya boleh membendung perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Kita semua sedia maklum tentang permasalahan masyarakat yang berlaku di negara ini sedangkan perkahwinan anak saya adalah satu perkahwinan yang sah,” ujarnya lagi.
Menurut Siti Hawa, perkahwinan itu juga tidaklah bermakna perhubungan di antara ibu dan anak terputus kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga masing-masing.
“Walaupun Maya sudah bergelar isteri orang, namun saya masih bertanggungjawab memberikan nasihat dan memastikan anak saya itu meneruskan pembelajarannya di sekolah sehingga tamat,” katanya.
“Saya berharap masyarakat berdoa semoga perkahwinan mereka diberkati dan saya berterima kasih kepada mereka yang telah membantu dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya.
awalnya kawin.. cik su umur 23 pun tak kawen lagi
ReplyDelete