Putri Anis kini bergelar Sri Ratu Saadong ketujuh
|
|
KOTA BHARU 8 Jun - Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, yang muncul dengan pengakuan sebagai pewaris keturunan Puteri Saadong, malam ini memakai gelaran Sri Ratu Saadong Ketujuh.
Di sebuah resort di sini upacara berkenaan dirancang penuh istiadat pada hari jadinya hari ini.
Ia menjadi simbolik kepada apa yang dianggapnya sebagai penemuan pencarian salasilah keturunan pemerintah Kelantan silam dan berakhirnya sumpahan tujuh keturunan ratu itu.
Ia disaksikan oleh pewaris-pewaris kesultanan di pelbagai wilayah Indonesia yang hadir khusus sebagai saksi dan pernyataan memperakui Anis merupakan pewaris Puteri Saadong yang menghilangkan diri ke negara itu.
Puteri Saadong yang namanya masih menjadi sebutan rakyat Kelantan dengan mitos mengenai kesaktiannya dikatakan dikenali sebagai Puteri Hijau dan berkahwin dengan Sultan Gowa dalam pengisahan tradisi kesultanan di Indonesia.
Raja Putri Anis telah dimasyhurkan sebagai Sri Ratu Saadong Ketujuh oleh wakil raja nusantara, Kanjen Pangeran Norman Hadi Negoro dan Kanjen Mas'ud Toyyib dari Keraton Surakarta Hadiningrat, Indonesia dengan keris warisan.
Terdahulu, acara bermula dengan keberangkatan masuk seramai 20 raja-raja serta sultan nusantara dari Indonesia dan Kepulauan Papua di samping tetamu kehormat.
Ia diikuti dengan Bangkit Semangat yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari daripada badan kebudayaan tempatan kira-kira pukul 9.45 malam.
Sebaik sahaja persembahan tersebut selesai, kedua ibu bapa Raja Putri Anis, Raja Sazali Raja Hasan dan ibunya, Raja Fauziah Syed Yaacob bersama tiga anaknya diiringi masuk ke dewan besar.
Beberapa minit kemudian, Raja Putri Anis diiringi masuk oleh beberapa 'dayang' dan bersemayam di singgahsana serba kuning.
Ia disusuli dengan acara pemakaian simbol darjat oleh pemegang amanah dari waris keenam Puteri Saadong yang juga ibunya di samping pemakaian mahkota oleh wakil raja nusantara, Dr. Ikke Dewi Sartika.
Majlis yang berlangsung selama dua jam itu dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk ahli keluarga Raja Putri Tengku Anis dan ahli sejarah dari dalam serta luar negara.
Sebelum ini, kisah Puteri Saadong dalam jalur sejarah pemerintahan Kelantan silam yang bersalut mitos dan legenda lenyap begitu sahaja selepas kematian suaminya Raja Abdullah.
Kemunculan Raja Putri Anis, anak kepada bekas pegawai Jabatan Perhutanan di negeri ini dan banyak menghabiskan masa di Indonesia menggemparkan, menimbulkan tanda tanya umum melalui pengakuannya dalam Utusan Malaysia pada 4 Jun lalu.
Sebelum ini, beliau menyatakan kesediaannya berdepan dengan tanggapan negatif terhadapnya sebagai memegang amanah untuk kembali sebagai warisnya di negeri ini, menamatkan sumpahan tujuh keturunan Puteri Saadong setelah 420 tahun meninggalkan Kelantan.
Di sebalik kisah Puteri Saadong yang dikatakan ghaib sedangkan kubur suaminya, Raja Abdullah wujud, Raja Putri Anis mahu apa yang dianggap mitos sebagai satu rentetan sejarah yang benar.
Beliau berharap, ia dapat menarik para pengkaji sejarah meneliti daripada pelbagai sumber agar dapat bersama membongkar sejarah baru Puteri Saadong.
Putri Anis yang menjalankan perniagaan keluarga berkata, beliau akan melibatkan diri dalam gerak kerja kebajikan di rantau ini melalui yayasan yang sedang dirancang.
No comments:
Post a Comment